Wabak ini juga dikatakan menjadi semakin kerap ditemui dan tangkas ‘berjangkit’ terutamanya di Asia, tentu sekali termasuk Malaysia, berbanding tempat-tempat lain di penjuru dunia. Malah, sesetengah saintis meramalkan diabetes bakal menduduki takhta wabak terbesar direkodkan dalam sejarah manusia.
Ia bersesuaian dengan unjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan bahawa, sekurang-kurangnya 171 juta rakyat dunia menderita penyakit diabetes yang dijangkakan meningkat lebih sekali ganda menjelang tahun 2030.
Saban tahun, adalah dianggarkan, 3.2 juta kematian (bersamaan enam orang seminit) dicatatkan di seluruh dunia yang berpunca daripada komplikasi-komplikasi diabetes. Sekalipun dari segi kesedaran mengenainya sudah ada di negara ini, namun masih ramai yang masih tidak ambil peduli.
Mengambil kira perubahan gaya hidup mewah, pemakanan tidak seimbang dan kurang bersenam di kalangan para pekerja pejabat berbanding mereka yang lebih aktif, tidak keterlaluan jika dikatakan sekurang-kurangnya separuh daripada rakyat Malaysia tidak menyedari bahawa paras glukosa atau gula dalam darah mereka sebenarnya adalah tinggi.
Jadi, adakah anda berisiko? Apakah komplikasi-komplikasinya? Dan, kenapa anda perlu ambil tahu tentang penyakit yang menyerang di dalam diam ini? Diabetes meningkatkan risiko sakit jantung kepada tiga kali ganda berbanding mereka yang tidak menghidapinya. Kadar kematian selepas serangan jantung adalah tiga kali ganda jika pesakit turut menghidap diabetes.
Komplikasi
Oleh itu, pesakit diabetes perlu mengurangkan risiko sakit jantung dan strok dengan cara mengawal kadar gula dalam darah dan juga mengurangkan faktor-faktor risiko lain seperti darah tinggi, kolesterol dan rokok.
Berat badan juga menjadi faktor penting terutamanya perut yang buncit. Pertukaran cara hidup yang melibatkan pemakanan seimbang dan senaman setiap hari adalah sangat penting. Pengawalan berat badan juga harus diberikan perhatian terutama jika pesakit mempunyai perut yang buncit. Pengawalan kadar gula adalah penting dan pesakit perlu berjumpa doktor sekurang-kurangnya sekali dalam tiga bulan.
Pemeriksaan kadar HbA1c, haruslah tidak melebihi tujuh peratus dan kadar glukos semasa berpuasa juga tidak melebihi tujuh mmol/L. Kawalan glukosa dan HbA1c yang baik boleh dicapai dengan cara pemakanan dan senaman, menggunakan ubat-ubatan berupa pil diabetes dan juga suntikan insulin, jika perlu. Sementara itu, penyakit darah tinggi adalah tiga kali ganda lebih banyak di kalangan pesakit kencing manis berbanding pesakit lain.
Walaupun definisi darah tinggi adalah 140/90 pada kebiasaannya, kadar ini diturunkan ke 130/80 bagi pesakit diabetes. Ini disebabkan oleh risiko sakit jantung dan strok yang lebih tinggi di kalangan pesakit diabetes. Kadar kolesterol juga berbeza di kalangan pesakit diabetes.
Lazimnya, kadar trigliserid lebih tinggi dan HDL – kolesterol rendah berbanding orang biasa manakala kadar LDL – kolesterol dan total kolesterol tidak berbeza dibandingkan dengan orang biasa.
Pembetulan kadar kolesterol yang tidak seimbang ini dapat mengurangkan kadar sakit jantung sebanyak 25 peratus. Pengawalan kolesterol boleh dicapai dengan cara pemakanan dan juga ubat-ubatan, jika perlu. Ia amat penting terutama di kalangan pesakit yang menghidap diabetes dan juga sakit jantung.
Merokok adalah risiko tersendiri penyakit jantung terutamanya di kalangan pesakit kencing manis. Kadar kematian sakit jantung adalah dua kali ganda di kalangan pesakit diabetes yang merokok berbanding dengan pesakit yang tidak merokok.
Komplikasi metabolik di kalangan penghidap diabetes terbahagi kepada dua jenis:
- Hiperglisemia; berlaku apabila kadar glukosa dalam darah terlalu tinggi menyebabkan pesakit terasa lemah dan kehausan.
- Hipoglisemia pula berlaku apabila kadar glukosa dalam darah terlalu rendah. Keadaan ini menyebabkan pesakit terasa lapar, menggigil, berpeluh dan jantung berdebar-debar.
Lain-Lain Komplikasi
Tiga jenis komplikasi yang biasanya terdapat pada pesakit adalah katarak, glaukoma dan retinopati diabetik. Komplikasi retinopati diabetik boleh menyebabkan pendarahan di dalam mata dan mengakibatkan pesakit menjadi buta. Keadaan ini boleh dielakkan jika pesakit membuat pemeriksaan mata.
Biasanya doktor mengesyorkan pemeriksaan mata setiap enam bulan atau setahun. Komplikasi retinopati ini dapat dirawat dengan kaedah fotokoagulasi laser dan ia amat berkesan jika dilakukan pada peringkat awal.
Pada peringkat awal, pemeriksaan air kencing untuk mikroalbuminuria dan makroproteinuria dapat mengesan kerosakan buah pinggang. Oleh itu, pesakit diabetes dinasihatkan membuat pemeriksaan air kencing setiap tahun. Jika keadaan ini berlarutan dan menyebabkan kegagalan buah pinggang tahap lewat, pesakit perlu menjalani rawatan hemodialisis.
Kerosakan Kaki
Diabetes boleh juga menyebabkan kerosakan saraf dan mengakibatkan kaki pesakit menjadi kebas dan hilang perasaan sentuh dan sakit. Ini boleh menyebabkan kaki pesakit luka dan berkudis tanpa disedari oleh pesakit itu sendiri. Gangguan saraf juga boleh menyebabkan kerosakan pada sendi dan kecacatan di kaki. Jika berlaku kerosakan saraf di dalam perut pula, ini boleh menyebabkan pesakit berasa kembung dan cirit-birit.
Di kalangan pesakit yang mengalami gangguan saraf pada bahagian kaki, komplikasi ulser kaki diabetik boleh berlarutan hingga menyebabkan gangren dan septicaemia. Pesakit perlu memeriksa kakinya pada setiap hari kerana kebersihan kaki adalah sangat penting dalam kes pesakit diabetes.
Kaki mereka haruslah dijaga dengan rapi dan sentiasa kering. Pesakit dinasihatkan supaya memakai kasut apabila berjalan dan kasut haruslah yang sepadan dengan saiz kaki.
Kuku kaki harus dipotong dengan baik. Jangan gunakan pisau atau gunting untuk memotong kuku. Mereka harus memeriksa bahagian dalam kasut supaya tiada batu atau pasir sebelum memakainya.
Jika terdapat masalah luka atau kudis di kaki, hendaklah dibersih dan disapukan ubat dengan segera. Sekiranya tidak sembuh dalam tempoh dua tiga hari, pesakit haruslah berjumpa doktor dengan segera.
Penyakit diabetes merupakan penyakit yang serius dan kerap berlaku di kalangan penduduk di negara ini tetapi jika diawasi dan dikawal dari peringkat awal lagi, penyakit ini tidaklah membawa padah yang besar.
Hindari Masalah Kaki:
- Periksa kaki setiap hari
- Basuh kaki setiap hari dengan sabun
- Jangan rendam kaki. Ini akan menyebabkan kulit menjadi kembang
- Keringkan kaki dengan baik selepas mandi terutama di celahan jari
- Gunakan bedak supaya kaki sentiasa kering
- Potong kuku dengan baik. Gunakan ketip kuku yang sempurna. Jangan guna pisau atau gunting untuk memotong kuku.
- Gunakan kasut atau selipar yang sepadan dengan saiz kaki
- Jika kaki anda luka, bersihkan dan guna ubat antiseptik dan dressing. Segeralah berjumpa doktor jika luka tidak sembuh dalam tiga atau empat hari
- Apabila membeli kasut pastikan saiznya betul, tapaknya lembut. Jangan guna kasut bertumit tinggi. Sentiasa gunakan sarung kaki supaya tidak luka. Sebelum memakai kasut pastikan tiada pasir atau batu. Ini boleh menyebabkan luka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan