Berita Dan Majalah




Rawatan alternatif perubatan moden

MELAKA 10 Feb. - Cara rawatan menggunakan lintah untuk membuang 'darah kotor' dalam badan sememangnya telah digunakan dalam bidang perubatan sejak ratusan tahun lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Norpipah Abdol berkata, dari sudut perubatan, lintah banyak digunakan dalam membantu merawat penyakit yang berkaitan dengan darah.


Antaranya ialah seperti penyakit jantung, darah tinggi, migrain, sakit kepala dan sebagainya.


''Melihat keistimewaan ini, selain bergantung kepada rawatan moden, masyarakat kini mula menggunakan lintah untuk merawat penyakit dihidapi.


''Walaupun penggunaan lintah dalam perubatan telah dilupakan hampir 160 tahun lalu, tetapi kini ia telah dipopularkan semula mengikut arus kemodenan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.


Menurut Norpipah, rawatan lintah juga berfungsi seperti reffleksologi, yang bertujuan mengenal pasti bahagian organ badan yang bermasalah.


''Dalam kesibukan tugas hari ini, makan minum dan waktu tidur yang tidak menentu, membuatkan masyarakat menitik beratkan soal kesihatan.


''Segelintir mereka mungkin tidak mempunyai masa yang cukup untuk bersukan dan selain pil kesihatan, rawatan tradisional seperti lintah juga akan membantu mereka untuk terus aktif dan sihat," katanya.


Beliau menambah, perniagaan dalam sektor kesihatan sememangnya berpotensi untuk berkembang maju apatah lagi di Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan.


Jelasnya lagi, ini dapat dilihat sendiri dengan pertambahan pusat-pusat rawatan kesihatan saban tahun sekali gus menggambarkan ia mempunyai permintaan di kalangan masyarakat.


''Sebenarnya, bukan sahaja dikalangan kita, malah pelancong luar negara pun tertarik dengan cara ubatan tradisional ini.


''Kalau bercakap pada rawatan moden, tentulah mereka lebih maju, tetapi rawatan tradisional ini, memang agak sukar didapati di negara mereka," katanya.













Keistimewaan lintah dalam dunia perubatan
(najibah@utusan.com.my)
SEPANJANG kerjayanya sebagai pakar bedah plastik dan rekonstruktif, di Columbia, Dr. Matthew Concannon tidak akan lupa salah satu sejarah yang tercipta enam tahun lalu.

Beliau telah berusaha untuk menyambung sebahagian telinga seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang terputus akibat digigit oleh seekor anjing pelatih.

Ini merupakan kes ketiga yang dilaporkan di mana telinga seorang kanak-kanak disambungkan melalui pembedahan mikro.

Menurut Concannon, prosedur yang mengambil masa selama empat jam itu terlalu rumit. Selain saiz pembuluh darah yang terlalu halus, koyakan yang berlaku pada telinga menyebabkan kerja-kerja mencantum semula telinga tersebut semakin mencabar.

Sejurus selepas pembedahan selesai dilakukan, Concannon menggunakan lintah bagi membolehkan aliran darah terbentuk semula.

Dalam tempoh seminggu, lebih 50 ekor lintah telah digunakan. Hasil yang diperoleh begitu menakjubkan.

``Lintah yang digunakan berjaya menyedut sejumlah darah beku bagi membolehkan darah mengalir selepas pembedahan yang rumit.

``Jika darah-darah ini tidak disedut keluar, ia akan masuk semula dan keadaan ini lebih serius seolah-olah seperti tiada darah baru yang mengalir,'' jelasnya.

Sukar dipercayai. Tetapi itulah sebahagian sumbangan dan jasa yang cukup besar lintah dalam dunia perubatan.

Spesies yang sinonim dengan `drakula' ini telah banyak menyelamatkan anggota tubuh yang dipotong melalui pembedahan. Justeru, menyedari kepentingannya ini, Concannon `menternak' lintah sebagai persediaan pada bila-bila masa ia diperlukan.

Pengarah Hospital Universiti dan Klinik dan pakar tangan dan pembedahan mikro itu menjelaskan, `lintah perubatan' itu terlalu bernilai.

Menurut beliau, lintah dianggap aset paling penting kepada pakar-pakar bedah plastik dan rekonstruktif di negaranya.

``Lintah dapat membantu mengekalkan aliran darah kepada tisu-tisu yang dipindahkan dan bahagian-bahagian tubuh yang dilekatkan semula,'' katanya.

Peranan lintah dalam dunia perubatan sebenarnya telah diamalkan sejak ratusan tahun yang lalu. Biasanya, ia digunakan untuk menghilangkan rasa sakit dengan mekanisme menghisap darah.

Bagaimanapun, perkembangan ubat-ubatan moden menenggelamkan `kehebatan' dan sumbangan lintah dalam dunia perubatan.

Pada abad ke-19, lintah digunakan secara meluas oleh pakar-pakar perubatan dan tukang gunting rambut untuk proses pembekaman. Amalan berbekam ini, dipercayai sebagai penyembuh banyak jenis penyakit dari hujung rambut hingga ke hujung tapak kaki. Ini termasuklah sakit kepala hinggalah gout.

Namun, lama-kelamaan, amalan ini semakin dilupakan. Bagaimanapun, trend menggunakan lintah perubatan semakin mendapat tempat dalam tempoh empat dekad lalu.

Terbaru, saintis Jerman melaporkan, penggunaan lintah amat berkesan untuk mengurangkan rasa sakit dan kekejangan di kalangan pesakit yang menghadapi masalah radang sendi pada lutut (artritis).

Dalam perubatan moden, penggunaan lintah hanya terhad bagi merawat masalah darah beku selepas pembedahan.

Penemuan terbaru yang dilaporkan di Annals of Internal Medicine mendedahkan air liur lintah mengandungi sejenis bahan antiradang dan lain-lain bahan kimia.

Menurut Dr. Gustav J. Dobos dari Klinik Essen-Mitte, Jerman, bahan-bahan ini dipercayai dapat mengurangkan gejala-gejala artritis. Lintah-lintah tersebut diletakkan pada bahagian lutut yang sakit, dibiarkan selama 70 minit hinggalah lintah tersebut tertanggal daripada kulit.

Selepas tujuh hari pesakit menerima rawatan, kesannya cukup menakjubkan. Pesakit yang mendapat terapi lintah lebih baik berbanding rawatan konvensional terutama dari aspek kurang rasa sakit.

Dalam makmalnya, Concannon menyimpan antara dua hingga tiga dozen lintah sebagai persediaan.

``Apabila saya memerlukan seekor, saya memerlukannya pada masa itu juga dan tidak boleh menunggunya berjam-jam,'' katanya.

Lintah-lintah ini dibiarkan berada dalam akuarium yang diisi dengan air suling. Mereka juga diberi makanan yang dibuat khas untuk mereka yang ditambah dalam tangki tersebut.

Lintah-lintah ini tidak dibenarkan menghisap darah manusia atau apa juga produk-produk darah sebelum digunakan bagi mengelakkan pencemaran kepada pesakit.

Menurut Concannon, tujuan utama penggunaan lintah ialah melancarkan aliran darah. Kelebihan teraputik yang diperoleh daripada lintah ini terbahagi kepada dua.

Pertama, jumlah darah yang dikeluarkan semasa proses menghisap dan setiap gigitan darah akan meleleh hingga satu jam selepas lintah-lintah tersebut jatuh dengan sendirinya.

Keadaan ini, secara tidak langsung membolehkan anggota tubuh yang digigit itu terus hidup.

Bagaimanapun, sebelum prosedur ini dilakukan, Concannon akan melakukan beberapa ujian kepada pesakit bagi memastikan mereka benar-benar mengalami kesesakan vena.

``Saya hanya menggunakan lintah sebagai alternatif terakhir apabila kesemua kaedah teknikal telah dilakukan tetapi pesakit masih mempunyai masalah,'' ujarnya.

Apabila terapi ini dimulakan, ia akan diteruskan sehingga pembuluh darah baru terbentuk secukupnya di sekeliling tisu-tisu terbabit.

Begitu juga dengan jumlah lintah yang digunakan. Ia banyak bergantung kepada keadaan penyumbatan dan tempoh impaknya pada penyumbatan tersebut.

Prosedur ini sebetulnya tidak sedikit pun menyakitkan pesakit kerana fungsi sebahagian saraf pada anggota terbabit semakin menurun.

``Kedua, air liur lintah-lintah tersebut mengandungi sejenis kimia anestetik yang menyebabkan kita tidak rasa sakit dan agen antidarah beku.

``Ia dikenali sebagai hirudin - yang membantu darah mengalir dengan bebas,'' jelas Concannon.

Dalam kebanyakan kes, katanya pesakit pada mulanya agak ragu-ragu tetapi masih boleh menerima apabila beliau mencadangkan untuk meletakkan parasit kurus ini pada luka mereka.

Daripada 24 kes sejak beliau mula menggunakan terapi lintah pada 1992, hanya seorang pesakit saja yang enggan.

``Setelah kami kehabisan pilihan pembedahan, saya akan tanya kepada pesakit sama ada mereka ingin mencuba kaedah ini.

``Kebanyakannya hairan bagaimana lintah ini bertindak untuk menyelamatkan sebahagian anggota tubuh mereka,'' jelasnya.

Tergolong dalam spesies cacing, lintah `digeruni' kerana keupayaannya menghisap darah dan fizikalnya yang lembik.

Lintah, tergolong dalam spesies cacing yang terdapat banyak di hutan hujan tropika. Spesies ini gemarkan tempat-tempat yang lembap seperti di sungai, danau dan laut.

Selain itu, ia juga mudah ditemui di tempat-tempat perkhemahan berhampiran air terjun atau sungai dan trek tempat mendaki yang lembap.

Secara anatominya, lintah mempunyai alat penyedut pada setiap penghujung badannya. Satu digunakan untuk makan, manakala satu lagi digunakan untuk bergantung ketika menghisap darah.

Menurut Concannon, apabila dia meletakkan lintah ini pada `hosnya', mereka tidak akan membuang masa. Mereka menggunakan tiga rahang yang mengandungi 100 batang gigi setiap satu ke bahagian terbabit.

Hanya dalam tempoh setengah jam, mereka boleh menyedut darah dengan rakus sebanyak lima kali ganda daripada berat badan mereka.

Setelah puas menghisap darah, lintah akan terjatuh dengan sendiri dan meninggalkan tanda gigitannya yang cukup ketara pada kulit.

Hanya dengan sekali sedutan, lintah-lintah ini mampu bertahan selama 18 bulan tanpa makanan lain.

Apabila lintah-lintah telah digunakan, Concannon akan memberi mereka sedatif dalam alkohol untuk dimusnahkan dalam insinerator.

``Mereka perlu dibuang segera dan berhati-hati kerana badan mereka dipenuhi dengan bahan-bahan buangan perubatan,'' katanya.

Bercerita tentang lintah, ada yang memegang kepada kepercayaan jika seseorang bermimpi bertemu lintah, bermakna dia akan digoda oleh perempuan atau sebaliknya. Jika dia bermimpi digigit lintah bersirat akan digoda oleh perempuan yang jahat.

Di kalangan masyarakat Melayu, telah diketahui minyak lintah khusus bagi kaum lelaki untuk menambahkan saiz zakar dan mereka yang bermasalah dalam hubungan seks. Khabarnya, minyak ini ditapa selama 40 hari 40 malam di dalam kelapa muda hijau mengikut resipi herba purba, kitab-kitab lama seperti kitab Arab (Rawd at-Tirr) dan khazanah seks Melayu dahulu kala.

Namun, sejauh mana keberkesanannya tidak diketahui melainkan bagi mereka yang telah mencubanya.









ARKIB : 25/06/2012

Ekstrak lintah untuk lelaki

Oleh NOOR DIANA AZIS
Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB dan koleksi Artsoulist

Ekstrak lintah digunakan untuk menghasilkan produk kesihatan.

Lintah! Jika dilihat dari bentuk fizikalnya, mungkin ramai antara kita yang tidak gemar dan jijik untuk menyentuh lintah kerana keadaan badannya yang berlendir, lembik dan licin.

Tidak kurang pula ada yang akan rasa geli-geleman terutamanya golongan wanita hingga berdiri bulu roma apabila bercakap mengenai haiwan kecil tersebut.

Secara amnya, apabila bercakap mengenai lintah pengetahuan masyarakat hanya terhad kepada sifat semulajadinya yang menghisap darah mangsa lalu mengeluarkan bahan anti pembekuan darah yang dinamakan hirudin.

Namun jika dikaji dengan lebih teliti, lintah atau nama saintifiknya Hirudo medicinalis juga mengandungi kolagen yang boleh digunakan dalam industri kosmetik dan juga perubatan dalaman tubuh badan.

Menyedari keistimewaan yang terdapat pada haiwan yang sedia maklum hidup di kawasan berpaya terutama sawah padi, Zamri Ibrahim, 40, memberanikan diri untuk mengkomersialkan keistimewaan lintah dalam dunia perubatan.

Menubuhkan syarikat Artsoulist Holdings Sdn. Bhd. (Artsoulist) bagi memudahkan perusahaannya, usahawan kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, lendir yang terdapat pada haiwan kecil itu diyakini mampu membantu melancarkan peredaran darah serta mengurangkan masalah pada sendi badan.

"Faktor yang menarik perhatian saya untuk mulakan penyelidikan mengenai lintah ini bermula apabila melihat kepada masalah sosial yang berlaku di kalangan pasangan yang sudah berumahtangga.

"Tidak dinafikan antara faktor penceraian berlaku berpunca daripada masalah ketika pasangan melakukan hubungan kelamin yang mana suami tidak mampu mengekalkan ketegangan alat sulit.

"Walaupun kedengaran agak remeh, namun ia tetap menjadi antara punca penceraian berlaku kerana pasangan tidak mampu memberi kepuasan maksimum kepada isteri ketika melakukan hubungan kelamin," kata Zamri.

Justeru, beliau menjalankan penyelidikan mengenainya dan cuba mencari jalan penyelesaian sekali gus yang mampu menyelesaikan masalah tersebut.

Apabila mengetahui lintah mampu membantu memulihkan tenaga batin serta menambah saiz alat sulit, Zamri menanam cita-cita untuk menternak haiwan tersebut sekali gus menguruskan perniagaan yang mengkomersialkan pati minyak haiwan itu.

Berkongsi pengalaman mengenai penubuhan Artsoulist yang membawa jenama Sensaoil di pasaran, Zamri yang mula menceburkan diri dalam bidang ternakan lintah sejak tahun 1997 menjalankan penyelidikan dengan kerjasama beberapa buat universiti tempatan.

Jelasnya, seorang penternak lintah perlu mengetahui cara hidup di samping memahami sifatnya bagi memudahkan sistem ternakan tanpa berhadapan dengan sebarang masalah.

Bermula dengan cara hidup, habitat hinggalah makanan ruji haiwan kecil penghisap darah tersebut, penternak juga perlu benar-benar arif mengenai spesies lintah yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

"Jika penternak lintah tidak mahir dan arif mengenai perkara asas yang diperlukan lintah, induk yang diternak tidak mampu mengeluarkan ekstrak berkualiti.

"Tempoh matang bagi induk adalah antara enam hingga lapan bulan dan haiwan ini mampu hidup sehingga lima tahun bergantung kepada cara ternakan yang dijalankan oleh penternak," ujarnya.

Bercerita lanjut, haiwan yang mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina ini mempunyai enzim yang dihasilkan daripada air liur berfungsi untuk menahan darah dari membeku semasa gigitannya.

Bagi memperoleh ekstrak lintah, proses pengekstrakan dijalankan terhadap lintah yang berkualiti dan menerusinya, ia menghasilkan dua jenis produk akhir iaitu bentuk cecair atau pun minyak.

Teknologi pengekstrakan yang digunakan terdiri daripada beberapa kaedah iaitu dengan menggunakan pelarut, perahan atau teknik penyulingan.

Pengekstrakan menggunakan pelarut boleh dilakukan menggunakan empat jenis teknik iaitu maserasi, perkolasi, refluks dan soxhlet.

Teknik maserasi dijalankan di dalam bekas tertutup pada suhu bilik kira-kira 25 darjah celsius menggunakan bahan pelarut organik seperti etanol dan air manakala teknik perkolasi pula menggunakan bahan pelarut yang dipanaskan.

Teknik pengekstrakan refluks pula menggunakan bahan pelarut dan air dan dijalankan pada suhu tinggi.

Bagi teknik soxhlet, ia dijalankan secara berterusan dan berperingkat dengan menggunakan pelarut yang berbeza mengikut pola.

"Kesemua teknik ini jalankan di kilang Artsoulist yang terletak di Ajil, Hulu Terengganu, Terengganu dan di sana juga terletaknya kolam ternakan lintah yang dijadikan sumber utama pembuatan pati minyak lintah.

"Bagi setiap satu kilogram lintah, ia mengandungi kira-kira 100 ekor lintah dan kesemuanya akan diperiksa kualiti sebelum diasingkan untuk proses pengekstrakan," jelasnya.

Sementara itu menurut pembantu makmal Artsoulist Holding Sdn Bhd, Saharudin Abdullah Omar kaedah penyulingan minyak pati sedikit berbeza yang mana ia menggunakan bahan-bahan seperti air dan hidrostim.

"Kaedah ini akan dijalankan secara langsung di dalam makmal untuk mendapatkan pati minyak lintah tersebut.

"Selain itu, pengekstrakan lintah juga boleh dijalankan menggunakan teknologi bendalir lampau genting iaitu pengekstrakan hasilan semula jadi menggunakan karbon dioksida pada suhu sehingga 60 darjah celsius.

"Kaedah pengekstrakan ini digunakan bagi mendapatkan hormon-hormon yang terkandung di dalam badan lintah yang dijadikan bahan asas pembuatan produk kesihatan sama ada dalam bentuk cecair atau minyak," jelasnya.

Mereka yang berminat untuk mendapat maklumat lanjut mengenai rangkaian produk minyak lintah keluaran Artsoulist, boleh menghubungi talian 03-90801678 atau layari laman web www.artsoulist.com.my.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan