Ahad, 30 Mei 2010

Demam

Demam terjadi kerana kenaikan takat suhu tetap di dalam badan yang ditunjukkan dengan kenaikan suhu badan melebihi daripada suhu biasa. Ianya ditentukan melalui pengukuran suhu badan pada tapak ukuran yang disyorkan. Pengesahan kenaikan suhu badan ini boleh ditentukan dengan mengunakan jangkasuhu. Ketika demam, suhu yang diukur pada bahagian mulut akan menunjukkan bacaan melebihi 37.8ºC (100ºF) dan suhu dubur pula melebihi 38.3ºC (101ºF) atau 37ºC (98.6ºF) apabila disukat di celah ketiak.

Demam boleh terjadi tanpa sebarang sebab, seperti selepas bersenam atau pun terjadi akibat perubahan fisiologi badan seperti di dalam kes jangkitan kuman. Kuman yang menjangkiti badan dikenali sebagai pirogen. Istilah ini sebenarnya yang berasal dari perkataan Greek (pyro=api;gen=penyebab) bermaksud sebarang bahan yang menyebabkan kenaikan suhu apabila memasuki badan.

Bahan-bahan lain yang diketahui boleh menyebabkan kenaikan suhu termasuklah ubat-ubatan, penyakit seperti kanser dan serangan penyakit jantung, dadah dan racun. Perlu diterangkan juga bahawa kenaikan suhu badan boleh juga terjadi di dalam keadaan kejutan panas akibat suhu persekitaran yang tinggi. Di dalam keadaan kejutan panas, aktiviti kehilangan haba dari badan akan berlaku melalui perpeluhan dan pengembangan salur darah menjadi perlahan.

Semasa kejutan ini terjadi, kehilangan peluh yang banyak sebenarnya akan memburukkan lagi keadaan kerana mangsa kejutan akan mengalami kekurangan bendalir dalam badan atau dehidrasi. Suhu badan semasa kejutan terjadi boleh melebihi 24ºCelcius, pada takat suhu ini kulit mangsa akan menjadi kering, koma dan mungkin kematian. Sekiranya rawatan tidak diberikan secara agresif dan pantas, kemungkinan pesakit maut adalah tinggi sehingga boleh mencapai 80 peratus daripada semua kes kejadian kejutan panas.

Bagaimana Demam Terjadi?

Haba badan manusia terhasil akibat daripada proses penjanaan tenaga yang diperlukan untuk aktiviti badan seperti pergerakan otot. Semasa sihat, penjana utama datang dari hati manakala ketika bersenam pula otot menjadi pengeluar haba utama. Proses penjanaan haba ini dipengaruhi oleh hormon badan dan otak. Di dalam keadaan normal, suhu badan ditentukan oleh proses penjanaan dan juga proses kehilangan haba.
Bagi membolehkan kehilangan haba badan yang cepat, proses yang biasanya di lakukan oleh badan sendiri ialah berpeluh di samping pengembangan saluran darah pada kulit agar haba badan yang disalurkan dapat di hilangkan melalui kulit.

Suhu badan biasanya ditetapkan pada julat suhu yang tertentu iaitu 36.5º hingga 37.5ºC melalui pusat kawalan suhu yang terletak pada otak. Bagi memboleh kan badan menetapkan suhu badan dengan persekitaran saraf sensitif suhu yang terdapat pada kulit akan menghantar maklumat ke otak secara berterusan.

Jika suhu persekitaran jatuh, maka maklumat yang disampaikan ke otak akan menyebab kan gerak balas badan, termasuklah perubahan tingkahlaku bagi mengimbangi kejatuhan tersebut. Dalam hal ini, gerak balas yang boleh diperhatikan adalah seperti bulu roma menegak atau menggeselkan tangan bagi meningkatkan suhu kulit.
Di dalam keadaan tidak normal, perubaan di dalam mekanisma pengawalaturan suhu badan ditunjukkan melalui dua keadaan iaitu demam dan kepanasan.

Demam dapat dikesan melalui kenaikan takat suhu tetap badan. Kepanasan pula ditunjukkan dengan pusat kawalatur pada otak yang tidak berubah walaupun kadar kehilangan haba dari badan semakin rendah yang mengakibatkan kenaikan suhu badan. Oleh itu, peningkatan suhu badan boleh disebabkan oleh tiga proses iaitu kenaikan suhu yang ditetapkan pada pusat kawalan yang terdapat di otak, peningkatan di dalam penjanaan haba pada otak dan pengurangan di dalam kehilangan haba badan.


Pengukuran Suhu Badan

Bagi memastikan sama ada anda betul-betul demam atau tidak, boleh dipastikan dengan menyukat suhu badan. Alat jangkasuhu akan digunakan sama ada jangkasuhu raksa di dalam kaca atau jangkasuhu elektronik seringkali digunakan sekarang kerana bacaan suhu boleh diperolehi dengan cepat di samping tiada kemungkinan alat tersebut pecah dan boleh mencederakan pengguna seperti di dalam penggunaan jangkasuhu kaca.
Tetapi jangkasuhu kaca juga mempunyai kelebihan kerana harganya murah serta mudah alih untuk dibawa kemerata-rata tempat. Selain itu ada juga jenis jangkasuhu filem yang diletakkan diatas kulit bagi memberikan bacaan suhu badan pengguna. Kebaikan jangkasuhu jenis ini ialah operasi pengendalian kasar ke atas jangkasuhu tidak akan mempengaruhi bacaan yang diperolehi.
Sekiranya pengguna mempunyai jangkasuhu yang disimpan bagi kegunaan pegukuran suhu badan, beberapa tapak badan boleh digunakan untuk mendapatkan suhu ini. Diantara tapak sukatan yang seringkali digunakan ialah mulut, celah ketiak, dubur dan telinga. Daripada kajian yang dilakukan, kedua-dua tapak ketiak dan dubur didapati memberikan suhu badan yang tepat berbanding dengan mulut. Ini kerana, suhu yang diperolehi dari mulut boleh dipengaruhi oleh pernafasan udara melalui mulut.


Bagi telinga pula, sukatan suhu badan boleh dilakukan dengan menggunakan jangkasuhu khas yang memancarkan sinar infra merah ke dalam telinga dan hasil daripada pantulan sinar kepada jangkasuhu akan digunakan untuk mengira suhu badan.


Rawatan Demam

Sekiranya demam telah dipastikan, maka langkah rawatan sendiri boleh dilakukan oleh pesakit. Mungkin demam yang anda alami boleh dikurangkan dengan pengambilan ubat-ubat tertentu sahaja. Sebaliknya jika penggunaan berulang ubat itu untuk beberapa hari tidak juga menyembuhkan demam, maka pesakit disarankan berjumpa doktor bagi mengenalpasti punca demam agar langkah selanjutnya dapat diambil.


Sekiranya perhatian tidak diberikan kepada pesakit terutama pesakit kanak-kanak di antara usia enam bulan hingga enam tahun, masalah demam boleh menyebabkan berlakunya sawan demam. Sawan jenis ini boleh terjadi hanya semasa demam dan ia tiada kaitan langsung dengan kecacatan otak. Ia boleh berpanjangan selama 10 hingga 15 minit.


Sekiranya sawan terjadi, letakkan tuala basah di atas kepala si pesakit dan bawa pesakit berjumpa dengan doktor. Langkah lain yang boleh dilakukan semasa pesakit mengalami demam adalah memastikan pesakit mengambil cecair yang mengcukupi, memakai pakaian yang tidak tebal dan suhu bilik yang tidak terlalu panas.


Sekiranya pesakit hendak diberikan ubat bagi melegakan demam, beberapa persoalan perlu diambilkira didalam pengubatan sendiri:

  • Berapa lamakah mengalami demam?
  • Berapakah suhu badan? Bagaimana suhu badan disukat?
  • Adakah tanda-tanda lain selain daripada demam?
  • Sudahkah rawatan lain digunakan untuk merawat demam tersebut?
  • Adakah anda sedang menjalani rawatan atau mengambil ubat tertentu?
  • Adakah anda menghadapi masalah alergi atau kesan buruk ubat-ubat tertentu?

Untuk penggunaan ubat bagi melegakan demam, pilihan ubat boleh digunakan oleh pesakit dewasa ialah parasetamol dan ibuprofen kerapkali digunakan untuk melegakan demam. Kedua-dua ubat ini bertindak mengurangkan takat tetap suhu badan. Selain itu, aspirin turut mempunyai kelebihan untuk menghilangkan kesakitan semasa demam. Dos ubat yang diambil oleh pesakit ialah 660 hingga 1000 miligram pada setiap empat hingga enam jam sehingga dos maksimum iaitu lima dos sehari. Ibuprofen pula disyorkan pada kadar 200 hingga 400 miligram setiap empat hingga enam jam sehingga dos maksimum iaitu sebanyak 1200 miligram sehari.


Bagi kanak-kanak pula, hanya disyorkan untuk merawat demam dan dos ubat yang lebih kecil diberikan berbanding dos dewasa. Pilihan dos ubat mestilah disesuai kan dengan umur pesakit dan kebiasaannya pesakit kanak-kanak diberikan ubat cecair bagi memudahkan pengambilan ubat. Dos yang disyorkan untuk kanak-kanak yang berusia di antara dua hingga 11 tahun ialah 10 hingga 15 miligram bagi setiap kilogram berat badan kanak-kanak pada setiap empat hingga enam jam. Manakala dos maksimum seharian pula sebanyak 65 miligram/kilogram. Dos ini hanya dibenarkan untuk selama lima hari sahaja. Semasa ubat diambil, sebarang perubahan negatif perlu diberi perhatian.


Bagi mereka yang mengalami kejutan panas, pertolongan cemas mesti diberikan dengan cepat untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Pakaian mangsa perlu dilonggar kan dan mangsa hendaklah dibawa ketempat teduh dan sejuk. Siramkan air sejuk atau dingin ke atas badan mangsa sambil memicit-micitkan anggota badan untuk mempercepatkan kehilangan haba dari badan. Biasanya semasa dihospital mangsa akan direndamkan dalam air sejuk untuk mengeluarkan haba dalam badan.


Jika kenaikan suhu badan disebabkan oleh masalah kelenjar seperti kerosakan kelenjar pituitari di otak, maka pengambilan ubat demam tidak dapat menyelesaikan masalah kenaikan suhu badan. Di dalam keadaan ini, masalah penyakit yang menyebabkan kenaikan suhu badan perlu dirawat terlebih dahulu untuk menghilangkan demam.


Masalah demam sebenarnya boleh diatasi dengan mengambil beberapa langkah rawatan sendiri. Diantara rawatan ini termasuklah penggunaan langkah kehilangan haba yang cepat dari badan dengan meletakkan tuala basah di atas badan untuk menghilangkan haba di permukaan ataupun menggunakan ubat untuk melegakan demam. Sekiranya ubat diambil pastikan ia digunakan mengikut arahan yang tertera di atas label bekas ubat. Semasa penyimpanan juga, pastikan kanak- kanak tidak boleh mencapai ubat ini serta diletakkan di tempat yang dingin dan kering.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan