Sinar Harian
Oleh :Norhafizan Zulkifli
Kita mungkin tidak sanggup membiarkan diri terkena gigitan lintah kerana rupanya yang mengelikan. Mungkin juga pernah berasa gigitan lintah menyangka ia amat sakit, hakikatnya tidak begitu.
Menurut pakar terapi lintah dari Australia, Mehdi Jaffari ketika ditemubual di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini, gigitan lintah tidak menyakitkan, malah memberikan ketenangan kepada pesakit kerana lintah mempunyai tiga peringkat gigitan dan pada gigitan kedua, lintah akan menyuntik ubat penahan sakit untuk mengurangkan kesakitan kesan gigitan.
Mehdi berkata, setiap gigitan lintah itu akan menyedut bersama darah kotor yang terdapat dalam badan manusia. Lintah juga dikatakan mempunyai 92 enzim yang mampu mengurangkan gejala penyakit.
Lintah berupaya menghisap darah tiga kali ganda saiz badannya. Ketika menghisap darah pesakit, ia akan mengeluarkan enzim hirudin bertujuan menghalang pembentukan darah beku.
Lintah mempunyai terlalu banyak kelebihan, di mana gigitannya mampu menyembuhkan penyakit seperti resdung, migrain, gout, sakit lutut, stress, sakit belakang, sakit dada, dan masalah jerawat. Bagi penyakit-penyakit serius seperti arthritis (sakit sendi), kanser payudara, masalah jantung, strok dan kencing manis, pesakit perlu mendapatkan nasihat pakar sebelum menjalani rawatan ini.
"Berdasarkan pengalaman saya ketika berada di Malaysia, penduduk sini gemar makanan manis dan tidak sihat. Makanan sebegini mampu membawa kepada penyakit-penyakit serius," katanya Mehdi.
Namun begitu, Mehdi memberitahu, tidak semua pesakit boleh mendapatkan rawatan tersebut. Pesakit yang sedang mendapatkan rawatan kimoterapi dan radioterapi dan yang pernah menjalani pembedahan tidak dibenarkan.
"Bagi pesakit yang menjalankan kimoterapi, darah merah atau darah putih telah mati dalam tubuh mereka, lintah tidak boleh menghisap darah mereka kerana bimbang akan memburukkan lagi kesihatan mereka,". katanya.
Selain itu, kanak-kanak dibawah umur tujuh tahun dan wanita mengandung juga tidak dibenarkan mendapat rawatan terapi lintah ini.
Lintah yang telah digunakan dihapuskan dan tidak akan digunapakai semula kerana bimbang akan mengundang penyakit. Selain itu, lintah juga turut menjalani proses pembersihan nyah-bakteria. Bekalan lintah juga didapatkan hanya dari satu sumber yang dipercayai untuk menjaga kebersihannya.
Menyentuh soal bagaimana lintah boleh merawat kanser payudara, Mehdi menjelaskan, setiap kanser berakar umbi dari kardiovaskular, dimana kardiovaskular tersebut akan membentuk penyakit vaskular dan daripada vaskular itu, maka terjadinya kanser payudara dan terus bercambah dari semasa ke semasa.
Lintah akan merawat dari mana terbentuknya akar umbi kanser tersebut dan mengambil masa yang agak lama untuk mengurangkan penyakit. "Kami tidak menjamin pesakit sembuh 100 peratus, tapi percaya lintah boleh memberi bantuan sekurang-kurangnya 90 peratus daripadanya terutama bagi mereka yang baru menghidap penyakit tersebut.
"Saya bukanlah pakar dalam bidang sains, tetapi mendapat pengetahuan ini berdasarkan ilmu mengenai lintah dan pengalaman selama menceburi bidang ini untuk membantu masyarakat." katanya.
Mehdi merupakan pakar terapi lintah dari New Zealand dan dijemput oleh Pusat Pembangunan Usahawan Siswazah Malaysia (PUSMAL) UM untuk mengajar rakyat negara ini tentang rawatan terapi lintah, disamping mengkaji mengenai lintah yang banyak terdapat di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan