Isnin, 14 November 2011

Masalah Jerawat

Jerawat merupakan masalah kulit yang menyebabkan terhasilnya bengkak-bengkak pada muka, dada atau belakang badan. Ia kemudiannya membentuk jerawat putih yang kecil mengandungi nanah atau jerawat hitam atau bonjolan berwarna merah.

Apakah yang menyebabkan jerawat?

* Gabungan faktor-faktor seperti genetik, hormon, bakteria, liang tersumbat dan keradangan akan menyebabkan jerawat.

* Folikel rambut atau liang pada kulit mengandungi kelenjar sebum yang menghasilkan sebum (minyak). Semakin banyak sebum dikeluarkan, peluang untuk mendapat jerawat semakin tinggi.

* Apabila liang ini tersumbat dengan sebum dan keratin (sel kulit yang mati) jerawat hitam (komedo) akan terbentuk.

* Jika liang yang tersumbat kekal tertutup dan ia membengkak, kita gelarkannya sebagai jerawat putih (whitehead).

* Jika liang yang tersumbat kekal terbuka dan permukaan atasnya (pada kulit) menjadi gelap, ia dikenali sebagai jerawat hitam.

* Dinding folikel mungkin pecah lalu membentuk bonjolan berwarna merah.

Faktor-faktor yang mengganggu kulit

* Gangguan hormon disebabkan oleh:

** Tekanan psikologi.

** Pra-haid.

* Faktor persekitaran seperti:

** Kelembapan yang tinggi lalu menyebabkan kulit membengkak.

** Menggunakan kosmetik seperti sesetengah jenis pelembap, bedak asas dan minyak rambut.

** Pekerjaan yang melibatkan minyak dan gris (contoh memasak kentang goreng).

** Pakaian yang kasar.

* Ubat-ubatan seperti pil perancang kehamilan dan ubat tertentu (dapatkan nasihat doktor atau pegawai farmasi).

Gejala

* Ruam kulit atau lesi (luka) pada muka, dada, leher, bahagian atas belakang badan, bahu atau bahagian-bahagian lain.

* Komedo (jerawat putih atau jerawat hitam bergantung kepada warnanya).

* Lesi atau kulit di sekeliling lesi menjadi kemerah-merahan.

* Radang di sekeliling tompokan pada kulit.

* Tompokan pada kulit menjadi berkerak.

* Kulit menjadi berparut.

* Pigmentasi.

Pengurusan sendiri

* Basuh muka dengan air dan sabun yang lembut atau gunakan pencuci antiseptik 2 kali sehari dan lap kering dengan tuala yang lembut.

* Sikat atau ikat rambut supaya tidak menutup muka.

* Gunakan pelembap berasaskan air (dapatkan nasihat doktor atau pegawai farmasi).

* Jangan menggunakan bahan-bahan kosmetik yang berminyak seperti bedak asas atau pelindung cahaya matahari.

* Jangan mencucuk, menggaru dan memicit jerawat, noda hitam atau noda putih. Ini boleh menyebabkan kulit muka berparut.

* Jangan meletakkan/merehatkan muka di atas tangan seperti berteleku/menongkat dagu dan lain-lain kerana ini boleh merengsakan kulit muka.

* Gunakan ubat jerawat yang dapat menghalang liang daripada tersumbat dan menanggalkan noda hitam dan noda putih.

* Patuhi arahan penggunaan ubat jerawat dengan berhati-hati.

* Hentikan penggunaan ubat jerawat jika mendatangkan kesan sampingan yang teruk.

* Pakai pakaian yang longgar dan nipis jika jerawat terdapat di belakang badan atau dada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan