Oleh Najibah Hassan(
najibah@utusan.com.my)
SEPANJANG kerjayanya sebagai pakar bedah plastik dan rekonstruktif, di Columbia, Dr. Matthew Concannon tidak akan lupa salah satu sejarah yang tercipta enam tahun lalu.
Beliau telah berusaha untuk menyambung sebahagian telinga seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang terputus akibat digigit oleh seekor anjing pelatih.
Ini merupakan kes ketiga yang dilaporkan di mana telinga seorang kanak-kanak disambungkan melalui pembedahan mikro.
Menurut Concannon, prosedur yang mengambil masa selama empat jam itu terlalu rumit. Selain saiz pembuluh darah yang terlalu halus, koyakan yang berlaku pada telinga menyebabkan kerja-kerja mencantum semula telinga tersebut semakin mencabar.
Sejurus selepas pembedahan selesai dilakukan, Concannon menggunakan lintah bagi membolehkan aliran darah terbentuk semula.
Dalam tempoh seminggu, lebih 50 ekor lintah telah digunakan. Hasil yang diperoleh begitu menakjubkan. Keistimewaan lintah dalam dunia perubatan
``Lintah yang digunakan berjaya menyedut sejumlah darah beku bagi membolehkan darah mengalir selepas pembedahan yang rumit.
``Jika darah-darah ini tidak disedut keluar, ia akan masuk semula dan keadaan ini lebih serius seolah-olah seperti tiada darah baru yang mengalir,'' jelasnya.
Sukar dipercayai. Tetapi itulah sebahagian sumbangan dan jasa yang cukup besar lintah dalam dunia perubatan.
Spesies yang sinonim dengan `drakula' ini telah banyak menyelamatkan anggota tubuh yang dipotong melalui pembedahan. Justeru, menyedari kepentingannya ini, Concannon `menternak' lintah sebagai persediaan pada bila-bila masa ia diperlukan.
Pengarah Hospital Universiti dan Klinik dan pakar tangan dan pembedahan mikro itu menjelaskan, `lintah perubatan' itu terlalu bernilai.
Menurut beliau, lintah dianggap aset paling penting kepada pakar-pakar bedah plastik dan rekonstruktif di negaranya.
``Lintah dapat membantu mengekalkan aliran darah kepada tisu-tisu yang dipindahkan dan bahagian-bahagian tubuh yang dilekatkan semula,'' katanya.
Peranan lintah dalam dunia perubatan sebenarnya telah diamalkan sejak ratusan tahun yang lalu. Biasanya, ia digunakan untuk menghilangkan rasa sakit dengan mekanisme menghisap darah.
Bagaimanapun, perkembangan ubat-ubatan moden menenggelamkan `kehebatan' dan sumbangan lintah dalam dunia perubatan.
Pada abad ke-19, lintah digunakan secara meluas oleh pakar-pakar perubatan dan tukang gunting rambut untuk proses pembekaman. Amalan berbekam ini, dipercayai sebagai penyembuh banyak jenis penyakit dari hujung rambut hingga ke hujung tapak kaki. Ini termasuklah sakit kepala,kencing manis, resdung,hinggalah gout.
Namun, lama-kelamaan, amalan ini semakin dilupakan. Bagaimanapun, trend menggunakan lintah perubatan semakin mendapat tempat dalam tempoh empat dekad lalu.
Terbaru, saintis Jerman melaporkan, penggunaan lintah amat berkesan untuk mengurangkan rasa sakit dan kekejangan di kalangan pesakit yang menghadapi masalah radang sendi pada lutut (artritis).
Dalam perubatan moden, penggunaan lintah hanya terhad bagi merawat masalah darah beku selepas pembedahan.
Penemuan terbaru yang dilaporkan di Annals of Internal Medicine mendedahkan air liur lintah mengandungi sejenis bahan antiradang dan lain-lain bahan kimia.
Menurut Dr. Gustav J. Dobos dari Klinik Essen-Mitte, Jerman, bahan-bahan ini dipercayai dapat mengurangkan gejala-gejala artritis. Lintah-lintah tersebut diletakkan pada bahagian lutut yang sakit, dibiarkan selama 70 minit hinggalah lintah tersebut tertanggal daripada kulit.
Selepas tujuh hari pesakit menerima rawatan, kesannya cukup menakjubkan. Pesakit yang mendapat terapi lintah lebih baik berbanding rawatan konvensional terutama dari aspek kurang rasa sakit.
Dalam makmalnya, Concannon menyimpan antara dua hingga tiga dozen lintah sebagai persediaan.
``Apabila saya memerlukan seekor, saya memerlukannya pada masa itu juga dan tidak boleh menunggunya berjam-jam,'' katanya.
Lintah-lintah ini dibiarkan berada dalam akuarium yang diisi dengan air suling. Mereka juga diberi makanan yang dibuat khas untuk mereka yang ditambah dalam tangki tersebut.
Lintah-lintah ini tidak dibenarkan menghisap darah manusia atau apa juga produk-produk darah sebelum digunakan bagi mengelakkan pencemaran kepada pesakit.
Menurut Concannon, tujuan utama penggunaan lintah ialah melancarkan aliran darah. Kelebihan teraputik yang diperoleh daripada lintah ini terbahagi kepada dua.
Pertama, jumlah darah yang dikeluarkan semasa proses menghisap dan setiap gigitan darah akan meleleh hingga satu jam selepas lintah-lintah tersebut jatuh dengan sendirinya.
Keadaan ini, secara tidak langsung membolehkan anggota tubuh yang digigit itu terus hidup.
Bagaimanapun, sebelum prosedur ini dilakukan, Concannon akan melakukan beberapa ujian kepada pesakit bagi memastikan mereka benar-benar mengalami kesesakan vena.
``Saya hanya menggunakan lintah sebagai alternatif terakhir apabila kesemua kaedah teknikal telah dilakukan tetapi pesakit masih mempunyai masalah,'' ujarnya.
Apabila terapi ini dimulakan, ia akan diteruskan sehingga pembuluh darah baru terbentuk secukupnya di sekeliling tisu-tisu terbabit.
Begitu juga dengan jumlah lintah yang digunakan. Ia banyak bergantung kepada keadaan penyumbatan dan tempoh impaknya pada penyumbatan tersebut.
Prosedur ini sebetulnya tidak sedikit pun menyakitkan pesakit kerana fungsi sebahagian saraf pada anggota terbabit semakin menurun.
``Kedua, air liur lintah-lintah tersebut mengandungi sejenis kimia anestetik yang menyebabkan kita tidak rasa sakit dan agen antidarah beku.
``Ia dikenali sebagai hirudin - yang membantu darah mengalir dengan bebas,'' jelas Concannon.
Dalam kebanyakan kes, katanya pesakit pada mulanya agak ragu-ragu tetapi masih boleh menerima apabila beliau mencadangkan untuk meletakkan parasit kurus ini pada luka mereka.
Daripada 24 kes sejak beliau mula menggunakan terapi lintah pada 1992, hanya seorang pesakit saja yang enggan.
``Setelah kami kehabisan pilihan pembedahan, saya akan tanya kepada pesakit sama ada mereka ingin mencuba kaedah ini.
``Kebanyakannya hairan bagaimana lintah ini bertindak untuk menyelamatkan sebahagian anggota tubuh mereka,'' jelasnya.
Tergolong dalam spesies cacing, lintah `digeruni' kerana keupayaannya menghisap darah dan fizikalnya yang lembik.
Lintah, tergolong dalam spesies cacing yang terdapat banyak di hutan hujan tropika. Spesies ini gemarkan tempat-tempat yang lembap seperti di sungai, danau dan laut.
Selain itu, ia juga mudah ditemui di tempat-tempat perkhemahan berhampiran air terjun atau sungai dan trek tempat mendaki yang lembap.
Secara anatominya, lintah mempunyai alat penyedut pada setiap penghujung badannya. Satu digunakan untuk makan, manakala satu lagi digunakan untuk bergantung ketika menghisap darah.
Menurut Concannon, apabila dia meletakkan lintah ini pada `hosnya', mereka tidak akan membuang masa. Mereka menggunakan tiga rahang yang mengandungi 100 batang gigi setiap satu ke bahagian terbabit.
Hanya dalam tempoh setengah jam, mereka boleh menyedut darah dengan rakus sebanyak lima kali ganda daripada berat badan mereka.
Setelah puas menghisap darah, lintah akan terjatuh dengan sendiri dan meninggalkan tanda gigitannya yang cukup ketara pada kulit.
Hanya dengan sekali sedutan, lintah-lintah ini mampu bertahan selama 18 bulan tanpa makanan lain.
Apabila lintah-lintah telah digunakan, Concannon akan memberi mereka sedatif dalam alkohol untuk dimusnahkan dalam insinerator.
``Mereka perlu dibuang segera dan berhati-hati kerana badan mereka dipenuhi dengan bahan-bahan buangan perubatan,'' katanya.
Bercerita tentang lintah, ada yang memegang kepada kepercayaan jika seseorang bermimpi bertemu lintah, bermakna dia akan digoda oleh perempuan atau sebaliknya. Jika dia bermimpi digigit lintah bersirat akan digoda oleh perempuan yang jahat.
Di kalangan masyarakat Melayu, telah diketahui minyak lintah khusus bagi kaum lelaki untuk menambahkan saiz zakar dan mereka yang bermasalah dalam hubungan seks. Khabarnya, minyak ini ditapa selama 40 hari 40 malam di dalam kelapa muda hijau mengikut resipi herba purba, kitab-kitab lama seperti kitab Arab (Rawd at-Tirr) dan khazanah seks Melayu dahulu kala.
Namun, sejauh mana keberkesanannya tidak diketahui melainkan bagi mereka yang telah mencubanya.