Sabtu, 4 Jun 2011

HUKUM PERUBATAN LINTAH DALAM ISLAM..

LINTAH DAN CACING HARUS UNTUK PERUBATAN DAN KOSMETIK


Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah bagi kali ke-81 pada 31 Mac 2007 telah memutuskan bahawa hukum menggunakan lintah dan cacing dalam perubatan dan kosmetik adalah diharuskan. Berjual beli atas dasar manfaat yang diperolehi daripada kedua-dua haiwan tersebut juga adalah diharuskan oleh Islam.

Muzakarah kali ini juga turut memutuskan bahawa buat masa ini belum ada keperluan untuk menggunaan satelit bagi mencerap hilal dalam menentukan bulan-bulan qamariah khususnya Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah memandangkan kaedah hisab dan rukyah yang digunakan masih sesuai. Walaubagaimanapun untuk tujuan penyelidikan dan merakam pergerakan bulan penggunaan satelit adalah diharuskan.

Muzakarah kali ini turut merakamkan ucapan tahniah kepada Sahibus Samahah Dato’ Hj. Abdul Rahman bin Osman yang baru dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri Pahang berkuatkuasa pada 15 Disember 2007 yang lalu dan Jawatankuasa juga mengalu-alukan kehadiran kembali Sahibus Samahah Datu Haji Loling Othman bin Haji Alwi yang telah dilantik semula sebagai Mufti Negeri Sarawak.

Sebanyak empat(4) kertas kerja telah dibincangkan pada muzakarah kali ini dan juga taklimat daripada Prof. Dr. Zhari bin Ismail, pakar dalam bidang sains farmasi Universiti Sains Malaysia. Sementara itu, Pengerusi JKF, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa perpaduan dan kesatuan umat Islam amat penting dan beliau berharap semua ahli Jawatankuasa dapat sama-sama membimbing dan mendidik masyarakat khususnya umat Islam supaya memberi keutamaan kepada kepentingan dan kedaulatan ummah dan meninggalkan polemik serta isu-isu yang boleh menghalang dan melemahkan perpaduan umat Islam.

http://www.islam.gov.my/portal/lihat.php?jakim=3110




















TERNAK CACING/LINTAH IKUT SYARAK



Oleh Salina Abdullah dan Norfatimah Ahmad
bhnews@bharian.com.my













NILAI: Kegiatan penternakan haiwan eksotik seperti lintah dan cacing yang semakin mendapat sambutan ramai dibenarkan mengikut syarak, kata Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk pakar haiwan bagi menjalankan kajian berhubung perkara berkenaan bagi mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat.

“Selepas diteliti, jelas sekali perniagaan dan kegiatan penternakan haiwan seperti lintah dan cacing ini dibolehkan. “Umat Islam yang berhasrat menceburi bidang ini boleh teruskan hasrat mereka kerana daripada segi pemakanan haiwan itu juga tidak meragukan, malah penggunaannya untuk menghasilkan kosmetik juga didapati tidak timbul sebarang masalah,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di sini, baru-baru ini.

Selain menghasilkan baja kompos, cacing mempunyai protein yang boleh digunakan dalam perubatan dan kosmetik.

Wujud 1,800 spesies cacing, tetapi lima yang mudah ditemui adalah cacing merah (red worm); cacing harimau (tiger worm); cacing biru (blue worm) dan cacing malam (African night crawler). Harganya mampu cecah RM600 sekilogram selepas tempoh matang empat bulan.

Bagi lintah pula, ia makin popular digunakan sebagai bahan asal produk untuk kesihatan lelaki, wanita, kosmetik, pertanian dan ekstrak. Di Eropah, lintah digunakan untuk menghisap darah toksik seperti berbekam untuk menyedut darah kotor. Di Jepun teknik ini dipanggil Hirudo.

Air liur lintah mengandungi bahan bius, antipembekuan darah dan antibiotik. Lintah juga mempunyai bakteria yang dinamakan aeromonan hydrophila untuk mencerna darah dan menghasilkan bahan antibiotik untuk membunuh bakteria lain yang menyebabkan pembekuan.

Rawatan lintah boleh menormalkan dan membaik pulih kitaran kapilari, kesan antiinflamasi yang cepat dan melegakan tekanan.

Abdul Shukor berkata, Majlis Fatwa mula menjalankan kajian selepas ramai umat Islam mengemukakan soalan berhubung perkara itu berikutan pasaran dan kegiatan pemeliharaan dan perniagaan haiwan eksotik itu semakin berkembang kebelakangan ini.

“Majlis Fatwa berpendapat, dalam sesetengah perkara perlu bersikap positif kerana jika memandang serong kegiatan seumpama ini, umat Islam juga akhirnya akan rugi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan