Khamis, 5 Ogos 2010

Terapi Lintah Warisan perubatan Islam









Sumbangan Islam dalam dunia perubatan sungguh tak ternilai. Di era kegemilangannya, perubatan Islam telah melahirkan sejumlah doktor terkemuka yang telah mencipta dasar-dasar perubatan moden.

Dunia kedoktoran Islam pada zaman para sahabat telah mewariskan perubatan moden. Antara peninggalan terpenting dari perubatan Islam adalah pelbagai rawatan terapi bagi mengubati pelbagai jenis penyakit

Para doktor Muslim di era kejayaan mencuba membuktikan hadis Rasulullah SAW yang menegaskan bahwa ‘’semua penyakit pasti ada ubatnya melainkan maut” pelbagai terapi yang dikembangkan para doktor islam berjaya menemukan kaedah penyembuhan penyakit berdasarkan jenis-jenis penyakit.

jenis terapi yang dihasilkan oleh para perubatan Islam adalah seperti berikut; aromaterapi, terapi kanser, kimoterapi, hydroterapi, Parmacoterapi, Pisiterapi, psikoterapi, Pitoterapi, urologi, litotomi, dan terapi seksual.

Hirudoterapi (Terapi Lintah)

Hirudoterapi merupakan terapi penyembuhan penyakit dengan menggunakan lintah sebagai ubat untuk tujuan pengubatan, yang diperkenalkan Avicenna dalam karyanya The Canon of Medicine. Ibnu Sina juga mengenalkan penggunaan lintah sebagai perawatan untuk penyakit kulit. Terapi Lintah menjadi salah satu keadah yang disukai masyarakat Eropah pada abad pertengahan.

Ibnu Sina : The Canon of Medicine

Dalam era lebih maju, perubatan dengan lintah diperkenalkan oleh Abd-el-latif pada abad ke-12 M, yang menulis bahawa lintah dapat digunakan untuk membersihkan jaringan penyakit setelah operasi pembedahan. lintah melakukannya, walaupun ia mengerti risiko menggunakan lintah. Ia memberikan sedikit maklumat untuk pesakit bahawa lintah harus dibersihkan sebelum digunakan dan kotoran dan debu “yang melekat pada lintah harus dihilangkan” sebelum penggunaan.

“Dia menulis bahawa setelah lintah menghisap darah keluar, garam harus “dititiskan dibahagian tubuh manusia,” jelas Nurdeen Deuraseh, dalam karyanya bertajuk “Ahadith of the Prophet on Healing in Three Things (al-Shifa’ fi Thalatha): An Interpretational”, Journal of the International Society for the History of Islamic Medicine.

Isnin, 31 Mei 2010

Mulut Berbau busuk

Ramai yang mempunyai masalah ini tetapi tidak tahu apa nak dibuat untuk menghilangkannya. Kebanyakkannya merasa malu untuk bertanya dengan doktor gigi. Ada juga yang terasa rendah diri kerana mempunyai masalah ini. Ada juga yang merasa tersinggung apabila ditegur kerana mempunyai masalah ini oleh orang yang rapat dengan mereka. Ada juga merasa rendah diri dan malu untuk bercakap dengan orang. Apa penyebab mulut anda mengeluarkan bau yang kurang enak?
Bakteria
Punca utama mulut berbau adalah dari bakteria yang membiak di dalam mulut. ini hidup dan membiak dengan menggunakan lebihan makanan yang tidak dibersihkan dari gigi. Kemudian bakteria ini merembeskan hasil perkumuhan yang terdiri daripada asid dan juga sulfur (Volatile Sulfur Compounds-VSCs) yang menyebabkan bau kurang enak.

Kebanyakkan bakteria ini bersifat anaerob (hidup tanpa oksigen). Oleh sebab itulah kebanyakkan bakteria ini hidup di kawasan yang susah dibersihkan seperti celah-celah gigi, celah-celah poket gusi, di bawah plak yang melekat pada gigi , di karang-karang yang melekat di poket gusi dan juga di celah-celah rekahan pada lidah. Kawasan-kawasan terlindung ini juga susah mendapat bekalan oksigen.

Apabila anda mendapat selsema, alahan, ubatan atau perubahan hormon, hingus anda akan menjadi likat. Hingus yang pekat ini akan meleleh ke bahagian belakang lidah atau di tonsil anda dan melekat disitu (post-nasal drip). Ia juga menjadi tempat persembunyian yang ideal untuk bakteria bersembunyi.

Jika anda mempunyai masalah gusi dan tulang gigi yang kronik (periodontal disease), ia juga menyebabkan mulut anda berbau. Penyakit ini menyebabkan tulang gigi anda menurun dan mengakibatkan poket gusi anda dalam dan susah dibersihkan tanpa bantuan doktor gigi. Poket yang dalam ini juga memang tempat bagi bakteria anaerob membiak.
Mulut Kering Kerana Kekurangan Air Liur

Air liur adalah bahan pembilas mulut semulajadi. Ia membilas mulut anda sepanjang masa dan dengan ini secara tidak langsung membuang cebisan kecil makanan (food debris) dari permukaan licin gigi. Semasa tidur, perembesan air liur adalah kurang. Sebab itulah kita mendapat bau mulut yang kurang enak apabila bangun dari tidur.

Selain itu, kekurangan rembesan air liur menyebabkan air liur menjadi likat , susah untuk membilas mulut , menjadikannya kurang oksigen dan menyebabkan pembiakan bakteria anaerob di dalam mulut. Cuba bayangkan sepanjang hari air liur di dalam mulut adalah kurang. Sudah tentulah mulut kita berbau sepanjang masa.

Punca Kekurangan Air Liur

  • Mereka yang bernafas melalui mulut (mouth breather) : angin yang dihasilkan akan mengeringkan mulut
  • Bercakap terlalu banyak (contohnya mereka yang bekerja sebagai cikgu, jurujual etc): ini akan mengurangkan pengaliran/perembesan air liur
  • Berpuasa : mengurangkan perembesan air liur
  • Pengambilan ubat untuk penyakit darah tinggi, antihistamine, penghalang selera makan etc : kesan sampingan daripada pengambilan ubat-ubatan tersebut
  • Pengambilan minuman alkohol : mengeringkan mulut
  • Penggunaan ubat kumur yang mengandungi alkohol : mengeringkan mulut
  • Kekurangan air dalam badan (dehydration) : mengurangkan pengaliran air liur
  • Stress : mengurangkan pengaliran air liur
Rawatan
Jenis rawatan yang dicadangkan oleh doktor bergantung pada peringkat kanser yang dialami. Tiga pilihan rawatan yang primer adalah surgeri, kemoterapi dan radiasi. Pembedahan (kolektomi) adalah rawatan utama bagi kanser kolorektal. Berapa banyak kolon anda dibuang atau sama ada terapi-terapi lain seperti radiasi atau kemoterapi merupakan satu pilihan untuk anda, bergantung pada sejauh mana kanser itu menembusi dinding usus anda dan sama ada ia telah merebak ke limfa nodus atau bahagian tubuh anda yang lain.
Bagaimana Nak Tahu Yang Anda Mempunyai Masalah Mulut Berbau?

Agak susah untuk diri sendiri mengetahui yang dirinya mempunyai masalah mulut berbau kerana diri sendiri telah terbiasa dengan bau mulut.

Cara yang paling berkesan ialah dengan bertanya kepada mereka yang rapat dengan diri anda seperti suami, isteri, kawan rapat, ibu bapa atau anak-anak. Janganlah merasa kecil hati apabila di tegur oleh orang yang rapat dengan anda sebaliknya anda perlu berterima kasih kerana anda boleh mengambil langkah seterusnya untuk mengatasi masalah ini.

Selain itu, ada juga sejenis alatan yang digunakan oleh doktor gigi ( halimeter) untuk mengukur kadar sulfur di dalam nafas pesakit.

Apa patut anda lakukan sekiranya mempunyai masalah ini?

  • Membersihkan gigi setiap hari.

    Pastikan anda memberus dan juga menggunakan benang flos dengan betul setiap hari kerana ini akan membuang bakteria dan juga lebihan makanan yang digunakan oleh bakteria untuk hidup. Dengan ini bakteria tidak akan menghasilkan sulfur yang menyebabkan mulut anda berbau.

  • Pastikan juga anda tidak tergesa-gesa memberus dan flos gigi anda kerana ianya tidak akan menghilangkan semua bakteria tersebut. Ambillah masa paling kurang 2 atau 3 minit untuk memberus gigi anda.
  • Jangan lupa untuk menggunakan benang flos kerana memberus gigi tanpa menggunakan benang flos seperti anda membersihkan 70% sahaja gigi anda, selebihnya masih kotor.
  • Membersihkan lidah setiap hari
  • Ramai yang terlupa untuk membersihkan lidah semasa menggosok gigi. Ingatlah bahawa banyak bakteria bersembunyi di rekahan pada lidah dan juga di bahagian belakang lidah.
  • Anda boleh membersihkan lidah dengan menggunakan pembersih lidah (tongue cleaner). Ada juga berus gigi jenis mempunyai pembersih lidah di belakang kepala berus gigi.
  • Selain itu, anda juga boleh menggunakan berus gigi yang lembut untuk memberus lidah anda secara perlahan-lahan dengan menggerakkan berus dari belakang lidah ke bahagian hadapan berulang kali sehingga bersih.
  • Minumlah air

    Anda memang disarankan untuk meminum air paling kurang 2L sehari. Adalah lebih baik jika anda mengisi air di dalam botol dan sentiasa meneguk air dengan kerap sepanjang hari. Dengan ini mulut anda akan sentiasa dibasahi air sepanjang hari. Untuk mereka yang mengalami masalah kekeringan mulut disebabkan ubat atau mereka yang selalu bercakap, cara ini paling bagus untuk memastikan mulut anda sentiasa berair.

    • Meminum air boleh merangsang pengeluaran air liur, membilas lebihan sisa makanan pada gigi, dan juga melembabkan mulut yang membuatkan ia kurang sesuai untuk di diami oleh bakteria anaerob.
    • Elakkan guna pencuci mulut yang mempunyai alkohol
    • Ramai yang menyangka bahawa dengan menggunakan pencuci mulut, bau nafas akan menjadi segar dan tidak berbau tetapi mereka tidak merawat punca sebenar mulut mereka berbau jadi cara ini hanya bersifat sementara.
    • Jika menggunakan ubat kumur yang mempunyai alkohol, ia boleh menyebabkan kekeringan di dalam mulut yang menggalakkan pembiakan bakteria yang menyebabkan bau mulut. Jika hendak menggunakan ubat kumur, pastikan ia tidak mengandungi alkohol.
  • Mengunyah gula getah tanpa gula

    Jika anda tidak dapat memberus gigi selepas makan ( terutamanya makan tengah hari ataupun snek), anda boleh mengunyah gula getah tanpa gula. Dengan mengunyah gula getah, sisa-sisa makanan boleh dibersihkan dan pengeluaran air liur akan di rangsang.

Memeriksa gigi anda jika terdapat tanda-tanda penyakit gusi dan tulang ( gingivitis, periodontal problem)

Penyakit gusi (periodontal problem) adalah disebabkan jangkitan kuman pada gusi dan juga pada ligamen yang memegang gigi. Ini menyebabkan poket gusi menjadi dalam dan bakteria suka bersembunyi di situ. Di antara tanda-tanda penyakit gusi ialah:

  • Gusi yang bengkak dan merah
  • Gusi yang senang berdarah apabila disentuh
  • Gusi yang sakit
  • Nanah keluar dari gusi yang bengkak
  • Gigi bergoyang
  • Gigi sensitif
  • Sakit pada gigi ketika mengunyah
  • Terdapat karang gigi (lapisan keras yang berwarna kehitaman atau kekuningan di leher-leher gigi)

Doktor gigi boleh merawat penyakit gusi dan membersihkan gigi anda dari plak dan karang gigi dan ini seterusnya boleh menghilangkan bau pada mulut anda.

Berjumpalah dengan doktor gigi untuk pemeriksaan paling kurang setahun sekali. Selalunya anda tidak menyedari yang anda mempunyai masalah gigi dan gusi sekiranya tidak berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan. Jika anda telah berasa sakit, maka selalunya tahap kerosakan atau penyakit gusi telah serius. Doktor gigi boleh mengesan dengan awal sekiranya anda mempunyai masalah dan segera mengatasinya sebelum ia menjadi teruk.

Kanser Payudara

Apakah Kanser Payudara?

Kanser payudara merupakan kanser yang paling tinggi kejadiannya dan penyebab utama kematian di kalangan wanita di Malaysia.

Kanser payudara berpunca dari sel-sel dalam tisu payudara yang berkembang dalam keaadaan yang tidak terkawal. Jika tidak di kesan dan dirawat secepat mungkin, kanser payudara boleh merebak ke kelenjar limfa dan bahagian badan yang lain seperti tulang, paru-paru dan hati.

breast-cancer_0

Punca

Penyebab sebenar kanser payudara tidak di ketahui. Setiap wanita berusia 20 tahun keatas adalah berisiko menghidap kanser payudara. Faktor-faktor berikut mungkin menambahkan risiko wanita menghidap kanser payudara:

  • Usia meningkat
  • Mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser payudara
  • Telah mendapat kanser pada satu payudara.
  • Mula datang haid awal (sebelum umur 12 tahun) atau putus haid lewat (selepas umur 50 tahun)
  • Tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada umur melebihi 30 tahun.
  • Mengambil jenis makanan yang mengandungi banyak lemak haiwan.

Pencegahan

Kanser payudara boleh dicegah jika dikesan dan dirawat awal. Kanser payudara adalah salah satu kanser yang paling mudah di kesan.

Pengesanan boleh dilakukan dengan pemeriksaan Payudara. Semua wanita yang berusia 20 tahun dan lebih perlu melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) Setiap bulan sepanjang hayat mereka. Bagi wanita yang melebihi 30 tahun mereka perlu juga mendapatkan Pemeriksaan Payudara oleh saorang doktor atau kakitangan perubatan yang lain setiap tahun.

Pemeriksaan payudara secara tetap akan membolehkan seseorang wanita mengesan kanser payudara pada peringkat yang awal di mana rawatan adalah lebih berkesan.

Bila Mesti Melakukan PSP ?

Anda mesti melakukanya setiap bulan. Jika anda masih datang haid, PSP mestilah dilakukan di antara hari ke-7 hingga ke-10 selepas bermulanya haid anda.

Sekiranya jangkamasa haid anda tidak teratur atau anda sudah putus haid, PSP mesti dilakukan pada satu hari yang ditetapkan setiap bulan. Pilih hari yang mudah untuk diingati, seperti hari pertama atau terakhir pada bulan tersebut.

Bagaimana Melakukan PSP


Ia boleh di lakukan dengan 2 cara iaitu, melihat perubahan di hadapan cermin dan mengesan perubahan dengan cara berbaring.

a) Melihat Perubahan Di Hadapan Cermin
Lihat pada saiz, bentuk dan keseimbangan bentuk payudara (symmetry) serta paras kedua-dua puting payudara.

Kedudukan 1

Tanggalkan pakaian anda pada paras pinggang, dan lihat diri anda di hadapan cermin.

Kedudukan 2

Angkat kedua-dua tangan ke atas kepala anda. Periksa payudara anda dari berbagai sudut.

Kedudukan 3

Berdiri tegak di hadapan cermin dengan tangan anda di sisi. Pusing ke kiri dan ke kanan untuk mengesan sebarang perubahan pada payudara.

Kedudukan 4

Tegangkan otot-otot bahagian dada anda dengan mencekak pinggang dan menolak ke bawah.

Tanda tanda Amaran Yang Perlu Di Perhatikan Semasa Pemeriksaan.

  • Benjolan di payudara atau ketiak
  • Perubahan bentuk dan saiz payudara yang luarbiasa
  • Kerutan atau lekuk yang luarbiasa pada payudara
  • Puting payudara tertarik ke dalam
  • Pendarahan atau lelahan luarbiasa dari putting payudara.

b) Mengesan Perubahan Dengan cara Berbaring

Langkah 1: Persedian

Mulakan dengan PAYUDARA KANAN. Baring mengiring ke kiri dengan membengkokkan kedua-dua lutut anda.Letakkan bantal atau tuala mandi yang telah dilipat di bawah bahu sebelah kanan untuk menaikkan bahagian yang akan diperiksa. Kemudian letakkan tangan kanan anda di bawah kepala.

Gunakan tangan kiri anda untuk memeriksa payudara kanan anda. Gunakan tapak jari-jari anda untuk memeriksa sebarang BENJOLAN atau PENEBALAN. Periksa Payudara anda dengan menggunakan Kaedah- Urutan Menegak (Vertical Strip) don Kaedah Pusingan (Circular).

Langkah 2: Pemeriksaan Payudara Kaedah Urutan Menegak

Periksa seluruh kawasan payudara dalam corak urutan menegak, dari tulang selangka di bahagian atas kegarisan kutang (bra-line) di bahagian bawah; dan dari garis-tengah antara kedua payudara anda ke garis tengah di bahagian bawah ketiak anda Meggunakan tangan kiri, mulakan urutan pertama di ketiak anda. Buat pusingan ringan dan kemudian tekan kuat di tempat ini untuk merasakan sebarang benjolan atau penebalan.

Gerakkan tangan anda perlahan-lahan ke bawah ke arah garis-kutang menggunakan pusingan ringan dan tekanan kuat di setiap tempat. Di-bahagian bawah garis-kutang bergerak lebih kurang dua sentimeter ke kiri dan terus kearah atas menuju tulang selangka anda dengan melakukan pusingan dan tekanan. Bergeraklah ke atas dan ke bawah mengikut urutan dan liputi seluruh kawasan yang ditunjukkan.

Langkah 3 : Pemeriksaan Payudara Kaedah Pusingan

Bermula di bahagian atas payudara anda, buat pusingan yang besar. Bergeraklah sekeliling payudara anda dengan memerhatikan sebarang benjolan atau penebalan yang luar biasa. Buat sekurang--kurangnya tiga pusingan kecil sehingga anda sampai ke puting payudara. Lakukan ini sebanyak dua kali, sekali dengan tekanan ringan dan sekali dengan tekanan kuat. Jangan lupa periksa bahagian bawah areola (kawasan hitam).

Langkah 4 : Pemeriksaan Lelehan Di Puting Payudara

Menggunakah kedua-dua belah tangan, tekan payudara anda untuk melihat sama ada terdapat sebarang lelehan luarbiasa dari puting payudara.

Langkah 5 :Memeriksa Ketiak Anda

Jatuhkan tangan kanan anda ke sisi dan rasa ketiak anda dengan teliti untuk mengesan sebarang benjolan.

Pemeriksaan Payudara Kiri

Mula sekali lagi dengan langkah 1 hingga kelangkah 5 untuk PAYUDARA KIRI dengan cara yang sama menggunakan tangan kanan.

Adakah Semua Benjolan Dalam Payudara Menandakan kanser?

9 dari 10 benjolan yang terdapat di dalam payudara bukanlah kanser. Walaubagaimanapun, anda perlu berwaspada terhadap semua benjolan dalam payudara, dan perlu berjumpa dengan doktor anda dengan segera jika anda mengesan sebarang benjolan.

Rayuan Kepada Semua Wanita

  • Cegah kanser payudara dengan PSP setiap bulan.
  • Jika anda merasa sebarang benjolan luar biasa di payu dara anda sila berjumpa doktor dengan segera.
  • Jadikan PSP sebahagian daripada cara hidup anda.
  • INGAT ! Kanser payudara boleh disembuhkan jika dikesan awal dan dirawat secepat mungkin.

Sakit Jantung

Jantung manusia terdiri daripada serabut-serabut otot khusus yang bekerja untuk mengepam darah. Apabila otot jantung tidak mendapat bekalan darah yang cukup, seseorang itu dikatakan mengidap sakit jantung. Antara penyebab bekalan darah ke otot jantung tidak cukup, disebabkan saluran darah menjadi sempit kerana dinding sebelah dalam saluran darah dipenuhi lemak, terutamanya "kolesterol".

Serangan Penyakit Jantung

Penyakit jantung digambarkan sebagai rasa kesakitan yang amat sangat di bahagian dada yang berterusan sehingga setengah jam, menjalar kearah tangan kiri dan rahang. Pesakit akan mengalami keseukaran untuk bernafas dan perasaan takut yang keterlaluan.

Sebab sebenar rasa kesakitan ini adalah disebabkan kematian sebahagian otot jantung yang disebabkan oleh salur darah di bahagian tersebut tersumbat. Lebih besar salur darah yang tersumbat, lebih merbahaya serangan jantung tersebut. Sekiranya saluran darah tertutup sepenuhnya, sebahagian dari otot jantung akan rosak. Kemudian, sakit dada yang teramat sangat akan terjadi. Keadaan inilah yang dinamakan "serangan sakit jantung".

sakit-jantung

Faktor Penyebab

Asap Rokok

  • Mempercepatkan pembekuan darah
  • Menggalakkan pemendapan lemak pada dinding saluran darah.
  • Mengurangkan bekalan oksigen ke jantung.
  • Tekanan Perasaan
  • Seseorang yang mengalami tekanan perasaan, degup jantungnya, meningkat.
  • Tekanan darahnya juga meningkat.

Kandungan Lemak Yang Tinggi

  • Lebih tinggi kandungan lemak, lebih berbahaya. Makanan yang tinggi lemak, adalah seperti mentega, minyak sapi, daging berlemak.

Kurang bersenam

  • Senaman penting untuk menguatkan jantung.
  • Ia juga penting untuk memperbaiki pengaliran darah ke
    jantung. Bersenamlah.

Darah Tinggi

  • Darah tinggi menggalakkan berlakunya penyempitan saluran darah.
  • Jantung "terpaksa" mengepam lebih kuat untuk mengalirkan darah melalui saluran yang sempit itu.
  • Lebih tinggi tekanan darah, lebih besar pula peluang serangan sakit jantung.

Kencing Manis

  • Pesakit kencing manis lebih tinggi peluangnya mendapat serangan sakit jantung

Faktor-Faktor Yang Meningkatkan Kemungkinan Menghadapi Penyakit Jantung Koronari

  • Jika anda mempunyai keturunan yang mengidap penyakit jantung.
  • Jika anda berusia 35 tahun ke atas dan mempunyai masalah berat badan.
  • Jika anda merokok.
  • Jika anda gagal mengawal tekanan darah anda.
  • Jika anda mengidap penyakit kencing manis.
  • Jika anda menghadapi masalah mengawal tekanan.
  • Jika pemilihan makanan anda tidak betul makanan anda mengandungi kadar kolesterol dan lemak yang tinggi.
  • Jika anda kurang bersenam.
  • Jika anda kurang memakan sayur dan buah segar.

Mengurangkan Risiko Sakit Jantung

  • Anda boleh memastikan sama ada keluarga sebelah ibu atau sebelah bapa anda ada yang menghidap penyakit jantung. Sekiranya ada, anda perlu lebih berwaspada dengan tanda-tanda penyakit jantung dan digalakkan menjalani pemeriksaan tahunan.
  • Berhenti merokok terutama sekiranya anda berusia melebihi 35 tahun.
  • Mengambil ubat dan mengawal permakanan anda sekiranya anda mempunyai tekanan darah tinggi atau kencing manis.
  • Mengawal tekanan perasaan anda dan jangan cepat meradang atau runsing.
  • Digalakkan memakan daging putih "white meat" seperti daging ayam, ikan, dan mengelakkan dari terlalu kerap memakan daging merah "red meat" seperti daging lembu, kambing, kerbau dan lain-lain sepertinya.
  • Mulalah bersenam secara beransur-ansur.
  • Gentian serat yang terdapat dalam makanan dipercayai boleh menyerap sebahagian dari lemak / kalesterol, oleh itu pakar permakanan mempercayai makanan yang banyak serat seperti bijiran oat dapat mengurangkan jumlah kalesterol yang diserap oleh badan.

Gastrik

Gastrik atau istilah perubatannya, gastritis, adalah sejenis penyakit keradangan pada dinding/pengalas/mukosa perut yang mempunyai rawatan yang efektif. Lazimnya, keradangan berpunca daripada jangkitan bakteria helicobacter pylori (H. pylori) yang turut menjadi penyebab utama kepada kebanyakan ulser perut.

Penyebab Gastrik

Perut meliputi kantung kosong yang berotot terletak di bahagian atas di kiri abdomen, betul-betul di bawah rusuk. Orang dewasa mempunyai perut sepanjang lebih kurang 25 sentimeter dan boleh mengembang untuk menampung sehingga satu gelen makanan dan minuman.

Tisu perut tersusun rapat dan berlipat sesama sendiri seperti kipas semasa perut kosong. Apabila ada makanan, lipatan ini terbuka dan mengembang. Dalam perut inilah makanan diproses dan disimpan sebelum ia dibuang melalui usus. Daripada mulut, makanan perlu melalui saliran makanan yang panjang dan berotot yang dinamakan sebagai esofagus sebelum sampai ke perut. Dinding perut pula ada beberapa lapisan otot yang menggodak makanan sehingga hancur.

Kelenjar pada dinding perut, dalam masa yang sama, merembeskan jus gastrik termasuk enzim dan asid perut bagi membantu mencernakan makanan. Salah satu asid termasuklah asid hidroklorik yang bersifat kakis dan boleh melarutkan besi. Bagaimanapun, kehadiran mukus atau cecair bikarbonat dapat menyeimbangkan paras keasidan dalam perut dan melindungi tisu perut.

Punca-punca lain Gastrik:

  • Penggunaan kerap ubat penahan sakit bagi melegakan kesakitan tertentu seperti aspirin, ibuprofen dan naproxen
  • Pengambilan alkohol yang berlebihan
  • Pengambilan kokain
  • Merokok
  • Stres
  • Gangguan autoimun
  • Penyakit crohn
  • Radiasi dan kemoterapi
  • Makan atau minum bahan-bahan menghakis seperti racun
  • Pengaliran semula hempedu ke dalam perut
  • Rembesan asid gastrik yang berlebihan
  • Jangkitan kuman/parasit, terutamanya di kalangan mereka yang lemah sistem ketahanan badannya
  • Lain-lain masalah perubatan seperti HIV/AIDS, penyakit buah pinggang.

Gastritis Terbahagi Kepada Dua:

  • Akut, apabila keradangan berlaku secara mengejut lazimnya disebabkan oleh gabungan klasik mual dan rasa panas membakar atau ketidakselesaan pada bahagian atas abdomen/hulu hati.
  • Kronik, terjadi secara perlahan-lahan dalam jangka masa yang panjang, cenderung menyebabkan kesakitan dan rasa terlalu kenyang atau hilang selera makan selepas makan sedikit.


Tip Sepanjang Bulan Puasa

  • Mengambil berat tentang pemakanan semasa bersahur bukan hanya disebabkan oleh masalah gastrik tetapi kerana ia merupakan amalan yang disunatkan
  • Bersahur pada waktu menjelang imsak dan bukannya sebelum tidur
  • Bersederhana semasa berbuka dan tidak mengambil makanan berlebihan kerana ini mungkin menyebabkan sebu hulu hati
  • Mengelakkan makan sepanjang malam dan tidur dalam keadaan perut yang penuh. Keadaan ini hanya membebankan usus yang sepatutnya berehat semasa tidur. Oleh itu, makanlah antara tiga hingga empat jam sebelum tidur.
  • Elakkan tabiat terus tidur sebaik makan sahur kerana ia menimbulkan masalah pada sistem penghadaman.
  • Ada sesetengah individu yang alah pada makanan tertentu seperti cuka dan rempah. Jadi, elakkannya.
  • Begitu juga, elakkan makanan yang berlemak
  • Sesetengah sayuran mengeluarkan banyak gas seperti brokoli, kubis dan kacang soya. Hindari makanan ini.
  • Bersahur dengan makanan dan bukan sekadar minum air supaya dapat mengisi perut yang kosong.
  • Amalkan solat tarawih bagi memudahkan penghadaman makanan.

Asma

Asma adalah sejenis penyakit saluran penafasan yang kronik yang melibatkan saluran udara yang membawa udara masuk dan keluar dari paru-paru. Ia menyebabkan kekejangan dada dan sesak nafas yang dikenali sebagai 'serangan atau episod asma'. Penyakit ini boleh membawa maut jika tidak dirawat atau dikawal dengan baik.

Bagi penyakit asma, saluran udara yang mengalami keradangan adalah sangat sensitif bila terdedah kepada pelbagai ransangan atau "pencetus". Ia akan menjadi sempit, menyebabkan kesukaran untuk bernafas. Terdapat dua jenis asma: asma alahan dan bukan alahan. Seseorang itu berkemungkinan untuk mempunyai kedua-dua jenis asma ini.

Keterukan Asma:

  • Bagi serangan yang ringan dan berterusan, gejalanya muncul lebih dari dua kali dalam seminggu, tetapi bukan setiap hari
  • Bagi serangan yang sederhana, individu yang terlibat akan mengalami gejala asma setiap hari.
  • Bagi serangan yang teruk, pesakit mempamerkan gejala yang berterusan dan kerap.

Penyebab

  • Asma alahan disebabkan oleh alergen (pencetus alergi). Alergen ini biasanya mencetus gejala asma sewaktu penghidap asma bernafas. Saluran udara yang begitu sensitif akan mengalami pencerutan apabila alergen memasuki sistem penafasan melalui hidung.
  • Debunga, kulat dan hama adalah di antara alergen yang selalu hadir di udara. Kadangkala seseorang yang alah atau alergik boleh mendapat serangan asma apabila tertelan alergen. Contohnya seperti perisa makanan dan ubat-ubatan.
  • Untuk asma yang bukan alahan, pencetusnya tidak ada kaitannya dengan alahan tetapi masih mampu menimbulkan perubahan pada laluan udara sebagaimana tindakan alergen.
  • Contoh-contoh pencetus bukan alergen ialah:
    Agen Bawaan Udara - sebatian yang bercampur dengan udara seperti wasap dan wap dan asap. Agen atau bahan yang yang boleh mencetus gejala asma ini boleh wujud di dalam dan di luar rumah. Satu contoh bahan yang boleh wujud di luar rumah ialah gas karbon monoksida dari asap kenderaan. Contoh-contoh bahan bawaan udara yang wujud di dalam rumah termasuklah asap dari dapur dan wap dari cat aerosol.
  • Jangkitan pada sistem penafasan - terutamanya demam dan selsema. Kuman-kuman virus akan menyerang pengalas saluran udara dengan merangsang hujungan saraf menyebabkan otot yang menyelaputi saluran udara semakin tercerut. Senaman dan juga lain-lain aktiviti fizikal mampu menyebabkan pesakit asma terpaksa bernafas dengan lebih cepat. Sesetengah individu menghidap asma yang teraruh oleh senaman. Ini bermaksud, mereka hanya mengalami gejala asma ketika bersenam.
  • Udara yang sejuk atau perubahan cuaca boleh mencetus asma kerana otot di sekitar saluran udara akan mengalami pencerutan sebagai tindakbalas terhadap suhu udara.
  • Emosi dan stres juga mampu mempengaruhi kekerapan dan keterukan asma. Desakan udara yang melalui saluran udara ketika marah dan resah mampu mencetuskan asma.

Faktor - Faktor Risiko

Faktor-faktor risiko asma adalah terdiri daripada faktor-faktor yang boleh menyebabkan keradangan pada saluran udara. Bagi mereka yang mengalami keradangan saluran udara sangat sensitif terhadap pencetus asma.

Pencemaran udara

Mereka yang mudah terdedah kepada pencemaran udara mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit ini. Ini termasuklah mereka yang tinggal di kawasan bandar, tinggal bersama-sama perokok dan yang bekerja di persekitaran yang tercemar. Udara yang tercemar mengandungi pelbagai pencetus asma seperti asap dan wasap. Biasanya, ibubapa yang mengidap Asma mempunyai 6 kali ganda risiko untuk memperolehi anak yang menghidap asma.

Bayi pra matang

Bayi pramatang juga memiliki risiko yang tinggi untuk menghidap Asma apabila umur mereka meningkat kelak. Ini kerana, sewaktu mereka dilahirkan, sistem respirasi mereka masih belum matang dan masih belum mampu berfungsi sepenuhnya. Golongan ini mudah menghidap Asma kerana mereka menghadapi masalah untuk menyedut dan menghembus udara keluar dari paru-paru.

Merokok

Rokok mengandungi asap tembakau. Asap tembakau mengandungi pelbagai sebatian kimia yang boleh menyebabkan berlakunya keradangan pada saluran udara dan seterusnya menyebabkan asma.

Buasir

Buasir atau hemoroid adalah penyakit yang terjadi pada bahagian dubur. Penyakit ini dapat dikesan apabila saluran dubur membengkak. Ianya boleh berlaku sama ada di dalam dubur atau di kawasan luar. Biasanya pesakit akan berasa sakit kesan tekanan otot dubur ke atas bengkak tersebut sehingga menyebabkan proses pembuangan air besar menjadi amat perit.





Bengkak itu terjadi disebabkan oleh pengembangan saluran darah pada sel-sel yang melapisi saluran dubur. Selain bengkak pada saluran dubur, pendarahan semasa membuang air besar juga terjadi disebabkan oleh luka apabila najis keras bergesel dengan buasir.

buasir





Terdapat empat peringkat atau darjah yang menggambarkan keseriusan penyakit tersebut :

Tahap 1

Berlaku pendarahan dan bengkak menonjol keluar.



Tahap 2:

Disebabkan oleh pergerakan usus, bengkak akan keluar tetapi secara spontan akan kembali ke dalam (saluran dubur).



Tahap 3:

Keadaan yang sama seperti tahap dua, tetapi bengkak tersebut akan hanya berada di dalam setelah ditolak masuk secara fizikal.



Tahap 4:

Darah pekat keluar, menyebabkan rasa sakit dan susah untuk meneran. Buasir akan berada di luar kawasan dubur.



Faktor atau penyebab buasir ialah :

  • Regangan yang melampau semasa pergerakan usus atau ketika sembelit.
  • Cirit-birit yang kronik.
  • Kurangnya pengambilan makanan berserat dalam diet harian.
  • Mengandung atau bersalin.

Simptom-simptom Penyakit Buasir ialah :

  • Rasa sakit yang berdenyut-denyut.
  • Pendarahan berlaku selepas dan sebelum membuang air besar.
  • Darah menitis dan tersembur keluar dari saluran dubur.
  • Dalam tempoh pendarahan ini, pesakit itu boleh mengalami kekurangan darah.
  • Ada yang tidak mengalami pendarahan, tetapi dikenali sebagai pembengkakan dubur. Bengkak ini keluar selepas membuang najis. Kadangkala untuk tempoh sementara, kurang sakit tetapi ada rasa gatal-gatal.

PPH

Mereka yang mengalami sImptom-simptom berkenaan perlu berjumpa dengan doktor untuk rawatan lanjut. Satu per tiga daripada pesakit mampu mengatasi rasa sakit dan juga pendarahan setelah mendapatkan rawatan. Sehingga kini pesakit diberi pilihan rawatan yang sesuai oleh doktor setelah pemeriksaan dilakukan ke atas pesakit. Rawatan yang diberi berdasarkan tahap penyakit buasir yang dihidapi.

Biasanya pesakit lambat berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana adanya khabar angin mengatakan rawatannya agak menyakitkan. Pada hari ini, terdapat teknik rawatan yang baru, misalnya Procedure for Prolapsed Haemorrhoids (PPH).

PPH adalah teknik pembedahan yang mamppu mengurangkan kesakitan kerana prosedur rawatannya dilakukan pada kawasan berkenaan dan tidak mengambil masa yang lama, hanya beberapa minit sahaja.

Pesakit yang menerima rawatan PPH mempunyai beberapa kelebihan seperti :

  • Kurang rasa sakit dan gatal-gatal.
  • Tempoh berada di hospital yang singkat.
  • Pesakit boleh kembali melakukan aktiviti harian secara normal selepas beberapa hari menerima rawatan PPH.
  • Kos rawatan juga lebih rendah malah pesakit tidak perlu mengambil pil penahan sakit seperti mana rawatan konvensional.